Thursday, January 27, 2011

Merlimau: BN sudah ada calon

Persiapan bagi menghadapi pilihan raya DUN Merlimau yang bakal menjelang nampaknya berjalan lancar di sisi BN dan parti itu telah mengenalpasti sekurang-kurangnya empat nama untuk diletakkan sebagai calon.

Difahamkan, empat nama tersebut diputuskan dalam satu mesyuarat bahagian Jasin pada Sabtu lalu yang dipengerusikan ketua bahagian itu Datuk Ahmad Hamzah.

Ahmad yang juga ahli parlimen Jasin bagaimanapun berkata mesyuarat itu masih belum menetapkan siapakah calon yang akan dipilih bagi mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

Bahagian itu juga belum menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat selanjutnya bagi memutuskan perkara itu, katanya lagi.

"Kita hendak tumpukan kepada persiapan lain dulu," katanya ringkas ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ahmad enggan mengulas ketika diajukan soalan lanjut, namun Umno bahagian itu seolah-olah sudah tahu siapa yang akan dipertaruhkan sebagai calon.

Dugaan ini adalah berdasarkan cakap-cakap dengan beberapa sumber di bahagian itu.

Calon tempatan

Terdahulu, sebanyak tujuh nama telah dikemukakan termasuk timbalan ketua bahagiannya Datuk Mohd Said Yusof (kanan), ketua pemuda Zaidi Atan dan juga ketua pergerakan puteri Siti Faizah Abdul Azis.

Namun, difahamkan ketiga-tiga pemimpin bahagian itu digugurkan daripada senarai calon kerana bukan "anak jati" kawasan DUN Merlimau.

Menurut satu sumber, antara empat nama yang disenarai pendek itu termasuk ketua wanitanya Zaleha Bujang dan seorang anggota jawatankuasa bahagian Abdul Nasir Bazid.

Abdul Nasir yang juga seorang pembantu makmal merupakan penyelaras bagi DUN Merlimau.

Sementara itu, dua lagi nama yang disebut-sebut ialah Mohd Nasser Selamat dan Roslan Ahmad. Kedua-duanya juga merupakan anggota jawatankuasa bahagian.

Mohd Nasser merupakan pengerusi Perbadanan Tanah Adat Melaka manakala Roslan merupakan pengerusi syarikat Permodalan Melaka Holdings Sdn Bhd.

Namun, nama-nama pemimpin yang menjawat jawatan kanan dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri mungkin tidak akan dipertimbangkan.

Wanita Umno juga sudah mempunyai dua orang wakil di DUN Datuk Latifah Omar (Taboh Naning) dan Datuk Norpipah Abdol (Rembia).

Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengumumkan tarikh penamaan dan membuang undi bagi pilihan raya berkenaan pada hari Jumaat.
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

1 comment:

  1. Kita serah kepada kebijaksanaan YAB DS Presiden untuk pilih siapa calon.

    ReplyDelete